Thursday, March 14, 2013

Mengapa anak muda mesti pertahankan kerajaan yang sedia ada? (Bahagian Akhir)

Selain itu, kita dapat lihat, program-program yang dinaungi Kelab UMNO Luar Negara juga melahirkan ramai pemimpin mahasiswa muda yang cukup dinamik di seluruh dunia. Diharap kembalinya mereka ke tanah air nanti akan membuka lagi perkembangan idea dan idealisme yang boleh memajukan negara dari segala aspek kehidupan kerana mereka telah merasai kehidupan yang agak lama di luar negara dan pengalaman itu harus dikongsi. Begitu banyak jasa, usaha dan penglibatan kerajaan dalam mendokong dan menyokong pembangunan anak-anak muda dalam segala aspek lapangan politik, ekonomi dan sosial. Adakah kita mahu memperjudikan segalanya ini dengan mencuba menafikan jasa kerajaan sedia ada ini untuk terus mengembangkan usaha-usaha yang sungguh progresif dan jelas menyebelahi anak-anak muda? Kita tidak menafikan pembangkang mengatakan mereka belum ada track record sebagai kerajaan Pusat. Tetapi penulis melihat kredibiliti pembangkang adalah sangat lemah kerana tiga negeri yang diberi peluang oleh rakyat kepada pembangkang sebagai kerajaan negeri yang memerintah menunjukkan banyak kesan dan nilai yang negatif untuk perkembangan aktiviti anak-anak muda kerana pembangkang dilihat lebih banyak memfokus pada masalah dalaman antara parti mereka yang tidak berkesudahan. Isu PTPTN sebelum ini juga telah menjadi polemik yang dimainkan pelbagai pihak terutamanya parti politik pembangkang khususnya sangat jelas ingin menarik perhatian dan sokongan anak-anak muda terutamanya mereka yang sedang belajar di Institut Pengajian Tinggi. Banyak sekali fakta kukuh menunjukkan PTPTN telah membantu ramai anak muda rakyat Malaysia yang susah dari kampung mahupun bandar untuk menyambung pelajaran ke peringkat tahap tertinggi. PTPTN bukanlah paksaan. Malahan pinjaman PTPTN juga boleh dijadikan biasiswa jika mahasiswa itu belajar bersungguh-sungguh dan mendapat Purata Nilai Gred Terkumpul (CGPA) 3.5 dan ke atas. Orang muda harus menilai contoh kepimpinan secara menyeluruh dan holistik dengan memastikan segala dasar kerajaan yang menjadikan orang muda sebagai tonggak utama haruslah diteruskan. Dasar pembangunan Malaysia yang menyentuh aspek pembangunan ekonomi yang mengarah kepada perpaduan dan integrasi memerlukan penglibatan orang muda secara mapan kerana orang muda adalah generasi baru yang akan menjadi pelapis. Mengambil kata-kata yang diungkapkan oleh Imam Al-Ghazali. Beliau menyebut, "Bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari ini". Jika generasi muda hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang mantap dan hebat, adalah menjadi harapan pada masa depan negara kita akan terjamin menjadi maju, aman dan sejahtera. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar dan dibimbing oleh pemimpin politik yang suka menyemai budaya kebencian dan pemberontakan, maka lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang kita sesekali tidak ingin ia berlaku.

No comments:

Post a Comment