Wednesday, April 10, 2013

Kepimpinan Datuk Seri Najib Dari Pandangan Anak Muda.

Pada 3 April 2013 genaplah empat tahun era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat memacu kemajuan pembangunan negara dengan amat cemerlang di persada dunia. Terdapat pelbagai pandangan akademik, pandangan umum, pandangan yang berbentuk banyak persepsi berkaitan kepimpinan beliau, namun penulis memperincikan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak (DSNTR) dari kaca mata penulis yang mewakili sebahagian pandangan umum orang muda. DSNTR cukup mesra dengan orang muda. Ini adalah kerana beliau sendiri telah berpengalaman memimpin dalam organisasi politik ketika beliau masih lagi dalam kategori muda seawal umur 24 tahun lagi. Ketika itu, beliau telah berpengalaman menjadi ahli parlimen dan juga Menteri Besar termuda yang dilihat membawa legasi Allahyarham ayahanda beliau Tun Razak yang cukup hebat. Legasi tanggungjawab itu bukanlah suatu bebanan kepada beliau tetapi ianya diambil sebagai pembakar semangat, contoh tauladan dan inspirasi kepada beliau dalam memimpin organisasi politik yang diterajui ketika itu sehingga kini. Untuk menulis segala pencapaian beliau sepanjang 4 tahun sehingga kini adalah cukup panjang dan banyak juga telah diulas dengan pelbagai aspek dengan kronologi yang sangat lengkap oleh pelbagai pihak. Pencapaian beliau selama empat tahun boleh dilihat sangatlah cemerlang, gemilang dan terbilang pada pandangan seorang anak muda seperti penulis. Pencapaian beliau merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi sudah cukup jelas dilihat bahawa beliau amat prihatin dengan rakyat secara umumnya dan sangat prihatin kepada anak muda secara khasnya. Di samping itu, DSNTR bukan sahaja seorang yang sangat petah meluahkan kebijaksanaan dengan kata-kata pidato yang membakar semangat, yang paling penting beliau tidak beretorik kosong, beliau cakap, beliau buat, beliau janji dan beliau tepati.


Anak muda seperti penulis melihat dan berpandangan DSNTR membawa ‘aura’ semangat orang muda yang cukup gagah perkasa melalui kehebatan beliau berpidato, senyuman dan kemesraan beliau menjadi inspirasi kepada anak muda. Sebagai contoh, sebaik sahaja menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia,pada 5 April 2013, DSNTR memperkenalkan konsep 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ yang dilihat bersifat majmuk dan mesra rakyat yang menjadi teras kepada perpaduan dan keamanan negara. Anak muda seperti penulis melihat ini adalah suatu pembaharuan yang segar kerana di dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ini perhubungan antara kaum dan integrasi nasional sangat penting kerana jaminan keamanan dan perpaduan itu menjadi harapan masa depan untuk anak muda hidup dengan penuh harmoni dan rasa selamat. Selain itu, anak muda sangat prihatin dengan isu peluang pekerjaan selepas tamat pengajian sama ada di sekolah mauhupun di universiti. DSNTR telah melancarkan 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang bertujuan memperluaskan bidang keusahawanan kepada golongan yang tidak mampu dan penganggur tegar di kalangan rakyat terutamanya mahasiswa. Pelancaran 1Malaysia For Youth (1M4U) pula dilihat suatu usaha dari kerajaan untuk meningkatkan sifat sukarelawan seterusnya mendidik anak muda supaya menjadi pimpinan masa depan yang boleh berkhidmat kepada masyarakat.




Banyak lagi untuk dinukilkan di sini mengenai keprihatinan DSNTR dalan dunia pendidikan untuk pelajar seperti Skim Bantuan Pelajar sebanyak RM100 yang telah memanfaatkan 5.4 juta pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 adalah sangat membantu keluarga yang mempunyai tanggungan anak yang ramai terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Di samping itu, berita paling menggembirakan pada tahun 2013, penambahan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion pada 2013 bagi bantuan geran per-kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, dan pembelian buku teks untuk para pelajar telah membuktikan secara jelas bahawa DSNTR sangat prihatin dengan kebajikan anak-anak muda pelajar ini. Manakala Baucer Buku 1Malaysia RM250 pula yang telah diberikan kepada 1.3 juta pelajar IPT dan pra-universiti juga menggalakkan lagi budaya intelektual di kalangan mahasiswa untuk mendapatkan buku-buku yang berkualiti sebagai sumber rujukan ilmiah. Kegusaran anak-anak muda yang baru bekerja setelah tamat pengajian di Institut Pengajian Tinggi mengenai harga rumah yang melambung tinggi telah diselesaikan dengan perlaksanaan PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang dilancarkan pada 2011. Sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik telah dilancarkan khas untuk anak-anak muda berpendapatan sederhana dan rendah dengan peruntukan sebanyak RM500 juta. BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang telah diberikan sebanyak 2 kali pada tahun 2012 dan 2013 juga telah meringankan beban semua lapisan masyarakat yang memerlukan terutamanya untuk anak-anak muda yang sedang membina kekuatan simpanan kewangan peribadi setelah tamat belajar dan baru mula bekerja.




DSNTR juga sangat menjunjung agenda keterbukaan dan transformasi dan dapat dilihat beliau memahami jiwa anak-anak muda yang selalunya bersifat sangat agresif, proaktif untuk meluahkan ekspresi mereka berkaitan isu-isu pendidikan mahupu media yang bebas. DSNTR telah bertindak dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, memansuhkan Ordinan Darurat dan juga dibuat semula kajian semula iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti. Sesungguhnya pendirian DSNTR yang sangat terbuka dan merupakan sebahagian dari transformasi kerajaan ini jelas menutup mulut pihak dari parti pembangkang yang sering menjadikan isu-isu ini untuk menempelak kerajaan secara membuta tuli. Apabila menyentuh soal isu keselamatan terutamanya yang melibatkan isu tragedi di Lahad Datu, penulis sebagai anak muda melihat DSNTR merupakan pemimpin unggul yang bertindak dengan cukup pantas dan tegas. Tindakan DSNTR yang sangat proaktif dengan mewujudkan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah sebagai memberi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) telah memberikan harapan baru yang sangat kukuh kepada masyarakat di negeri Sabah bahawa beliau tidak berkompromi dengan isu keselamatan negara. Penyelesaian kepada isu-isu keselamatan di Lahad Datu yang telah berlaku secara pantas dan efektif, jelas menunjukkan sikap tanggungjawab dan kredibilti DSNTR yang berjiwa besar dan sangat prihatin kepada rakyat apabila beliau sendiri turun padang, mendengar masalah penduduk di Sabah dan yang paling penting perwira-perwira yang terkorban dihargai sebagai pahlawan negara dan kebajikan ahli-ahli keluarga perwira-perwira negara diambil berat oleh DSNTR.






Selain itu, DSNTR juga menjadi contoh lambang keberanian kepada anak-anak muda di Malaysia apabila menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di bumi Palestin pada 22 Januari 2013 yang lepas. Beliau juga terlibat secara aktif dalam acara bersejarah permeteraian perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan pembebasan Islam Moro (MILF) di Manila, Filippina yang sebelum itu telah berlarutan berpuluh tahun lamanya. Dari aspek teknologi pula, penulis sebagai anak muda melihat DSNTR juga memainkan peranan yang cukup positif dalam membangunkan pelbagai prasarana dan inovasi yang cukup progresif. Pada 24 Julai 2009, beliau telah mempelopori tehnologi hijau dengan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau seterusnya menjadikan negara Malaysia setaraf dengan negara maju. Pada tahun 2009 juga Pusat Inovasi Negara (MyNIC) dan rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi (iCoE) juga diwujudkan bagi menggalakkan kegiatan kreatif dan inovasi sebagai sumber komersial baru negara dan ini jelas sangat menguntungkan anak muda yang memang gemarkan idea baru dan terlibat dalam kerja-kerja kreatif. Dan yang paling penting pada 24 Mac 2010, di dunia tanpa sempadan ini, anak muda masa kini yang sangat aktif dengan media baru seperti facebook, twitter, istagram, youtube, sangat teruja dan mengagumi usaha aktif DSNTR yang telah mengumumkan empat insentif dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) untuk mentransformasi Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. DSNTR juga mendapat pengiktirafan oleh Tokoh-Tokoh Ulama Dunia. Tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh Dr Sulaiman Al Salumi dan Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Malaysia pada tahun lepas memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun rakyatnya berbilang kaum dan agama. Para ulama Arab Saudi tersebut juga kagum dengan kepimpinan kerajaan Malaysia yang memupuk hubungan baik antara ulama dan umarak dan mahukan negara Islam lain menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju.



Jelaslah di sini, program transformasi yang telah dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan DSNTR telah berjaya membuat perubahan yang cukup ketara kepada negara untuk kebaikan semua lapisan masyarakat. Gagasan 1Malaysia inilah dilihat dapat menjamin masa depan yang cerah dan gemilang untuk negara dalam merealisasikan segala hasrat wawasan negara. Falsafah 1Malaysia yang bermula sebagai sebuah konsep, dengan sokongan dan dokongan rakyat, 1Malaysia kini sudah menjadi satu falsafah nasional. Kepada anak-anak muda khasnya dan seluruh rakyat Malaysia umumnya, Gagasan 1Malaysia dan segala usaha transformasi negara yang dilaksanakan DSNTR benar-benar membawa inspirasi dan tenaga baru dalam usaha menyatupadukan rakyat. Diharapkan DSNTR dapat terus memimpin Malaysia di penggal yang seterusnya, Penulis yakin, dengan sokongan rakyat semua kepada DSNTR, DSNTR akan terus memperkenalkan banyak lagi program dan inisiatif untuk rakyat dan negara di bawah inisiatif 1Malaysia. Anak-anak muda seperti penulis jelas sangat sayang dan kagum dengan karisma dan kehebatan DSNTR yang dilihat sepanjang 4 tahun pemerintahan beliau sangat mesra dan menyokong pembangunan aktivisme dan intelektualisme anak-anak muda dengan pelbagai agenda transformasi yang telah DSNTR laksanakan. Perjalanan kembara kepimpinan beliau memacu negara bersama rakyat perlu diteruskan. Anak-anak muda akan terus bersama beliau dalam meneruskan kembara ini ke arah menjadikan Malaysia lebih unggul,berdaya saing dan hebat di mata dunia.

No comments:

Post a Comment