Thursday, March 14, 2013

Mengapa anak muda mesti pertahankan kerajaan yang sedia ada? (Bahagian 1)

Mengapa anak muda mesti pertahankan kerajaan? SEPANJANG berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2012 baru-baru ini di PWTC, menunjukkan kesediaan barisan kepimpinan kerajaan memberi ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin belia untuk menonjolkan bakat kepimpinan. Di PWTC berdekatan dengan Perhimpunan Agung UMNO itu, juga berlangsungnya Himpunan Wanita Muda Negara 2012 yang dilihat telah mencapai matlamat yang disasarkan untuk memberikan nafas baru penonjolan kepimpinan belia wanita yang selama ini agak tenggelam di peringkat nasional. Semua program besar ini menunjukkan iltizam dan kesungguhan kerajaan pusat masa kini mendokong kepimpinan masa depan anak-anak muda negara. Perlunya kerajaan sedia ada ini disokong berdasarkan beberapa sebab. Pertamanya ia adalah kerana kredibiliti kerajaan itu yang terbukti memberikan pelbagai sokongan melalui pelbagai cara dan perancangan kepada para belia dan orang muda untuk berekspresi. Sebagai contoh, Majlis Belia Malaysia (MBM) adalah sebuah badan kepimpinan belia yang disokong sepenuhnya kerajaan yang menjadi penaung kepada pelbagai persatuan belia negeri dan daerah di bawah seliaan MBM. Program-program belia yang dilaksanakan MBM amat menyeluruh meliputi kepimpinan, sukan, hobi persendirian dan pelbagai seni hiburan. Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula menunjukkan sokongan anak-anak muda kepada kerajaan adalah di tahap yang amat membanggakan. Pelbagai program belia diatur di situ dan dapat dilihat aspirasi kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memperkasakan idealisme dan aktivisme anak-anak muda. Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak ditubuhkan dengan sokongan kerajaan juga mempunyai dasar untuk pembangunan ekonomi-ekonomi orang muda dan belia. Sebagai contoh, Tekun, Mara, PUNB, Fama misalnya mempunyai dana khas untuk membantu lepasan mahasiswa dan mahasiswi untuk mendapatkan bantuan pembiayaan dari aspek pembangunan ekonomi usahawan-usahawan muda. Jumlah golongan muda yang berjaya meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi juga semakin bertambah. Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi, sehingga 2012 sahaja sejumlah lebih 500,000 anak-anak muda telah berjaya ke IPTA. Anak-anak muda tanah air juga perlu sedar yuran pengajian di Malaysia adalah sangat rendah di dunia kerana telah diberi subsidi. Para pelajar melalui sistem pendidikan negara semakin ramai yang mencapai kejayaan cemerlang dalam keputusan peperiksaan di peringkat UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM. Majlis Penggalakan Ekonomi Belia (MPEB) juga diwujudkan bagi membantu golongan muda yang ingin berniaga mendapatkan maklumat dan bantuan. Dari aspek pembangunan kerohanian pula, ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, Radio IKIM. FM telah dirasmikan. Kemudian diikuti TV Al-hijrah di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak. Media elektronik juga dimasukkan dan diserapkan dengan elemen kerohanian yang mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang syumul dan tidak dikesampingkan oleh kerajaan. Penubuhan Institusi Darul Quran di bawah seliaan Jakim juga memastikan kelangsungan para huffaz dapat diramaikan lagi di bumi bertuah ini. Pertandingan musabaqah al-Quran juga yang dianjurkan saban tahun peringkat negeri seterusnya peringkat negara dan juga di peringkat dunia dilihat menarik ramai peserta saban tahun di Malaysia.

No comments:

Post a Comment